Ustaz Hasrizal*
Editor: lailatulema
“Hebat. Antara ‘hiburan’ dan ‘maklumat’, bagaimana kamu mengendalikannya?” saya ingin tahu.
“Kalau anak-anak mahu menonton animasi, kami akan belikan cd dan tengok di komputer. Manakala maklumat seperti berita, internet kan ada?” jawabnya.
Saya mengangguk.
Sejujurnya, saya mengagumi kesungguhan kawan saya memilih untuk menolak adanya televisyen di rumah. Saya menghormati keputusan itu dan menerimanya sebagai salah satu alternatif yang baik.
Tetapi, mengapa saya tidak mengambil pilihan yang ini? Mengapa tidak rumah saya bebas televisyen?
Memikirkan persoalan ini tatkala mata anak-anak terpacak mengadap skrin itu, terdetik juga hati untuk bertindak sama. Imaginasinya ialah, humbankan sahaja televisyen itu ke dalam sungai!
BAHAN IMPORT
Akan tetapi, saya terkenang kembali kejadian yang berlaku semasa anak sulung saya berusia lima tahun. Semasa saya memotong rambutnya di rumah menggunakan mesin pemotong rambut.
“Eh, kepala Yop botak macam Mawi!” kata anak saya semasa melihat ‘imej baru’nya di cermin.
“Aik, macam mana Yop kenal Mawi?” saya kehairanan.
“Kat tadika, ada CD Mawi,” jawabnya jujur.
Aduh, biar pun rumah saya tidak ‘mesra Mawi’ tetapi perkenalan di antara anak saya dengan Raja SMS itu tetap boleh berlaku. Anak kita benar-benar anak kita dan berada di dalam corak kawalan kita, hanya pada 4 tahun pertama usianya sahaja. Sebaik sahaja kakinya melangkah ke alam pra sekolah, anasir luar mula menjadi sebahagian daripada dirinya dan kita perlu berperanan menyaring juga menapis anasir-anasir tersebut.
Tetapi semasa anak kita berusia lima atau enam tahun, kita sebagai ibu bapa boleh berperanan untuk menapisnya. Namun hubungan kita dengan anak-anak akan mula merosot apabila anak-anak masuk ke alam persekolahan. Kawalan kita ke atas hidup mereka akan menurun sesuai dengan perkembangan sudut lain diri anak-anak kita. Sudut membuat pilihan dalam kehidupan.
Ya, Aqil dan Baligh yang menjadi sempadan pembeda di antara manusia mukallaf dan tidak mukallaf sangat bersangkutan dengan UPAYA MEMILIH.
Justeru seiringan dengan berkurangnya UPAYA MENGAWAL kita ke atas anak-anak, mereka pula mestilah dilatih untuk meningkatkan UPAYA MEMILIH dan membuat keputusan dalam kehidupan.
ANAK GAJAH
Seekor anak gajah tertambat kakinya di tiang semenjak awal usia. Setiap hari anak gajah itu cuba untuk melepaskan dirinya, tetapi gagal. Rantai itu terlalu kuat untuk seekor anak gajah bertubuh kecil. Tetapi apabila anak gajah sudah menjadi dewasa, dirinya sudah lama berhenti mencuba untuk melepaskan diri. Gajah itu pasrah membiarkan dirinya tertambat, mungkin untuk selama-lamanya.
Gajah itu sudah berhenti mencuba, kerana fikirnya sudah diasuh bahawa tempatnya adalah di sisi tiang. Gajah itu terlupa melihat tubuhnya yang sudah berganda besar dari lima atau sepuluh tahun yang lalu. Gajah itu alpa bahawa kekuatan dirinya sudah cukup kuat untuk merentap rantai dan lepas bebas.
Gajah itu menjadi mangsa kealpaan dirinya sendiri. Tubuhnya membesar dewasa tetapi akalnya kekal terbantut.
MENYALAHKAN IBU BAPA
“Keturunan kita memang yang lelakinya semua bodoh Matematik!” kata Homer Simpson kepada anaknya, Bart.
Nilai-nilai negatif boleh sahaja tertanam di dalam diri kita kesan pengaruh persekitaran. Antara faktor persekitaran hidup kita, mungkin pengaruh terbesar datangnya dari ibu bapa. Perkataan-perkataan yang diguna pakai saban hari oleh ibu bapa kepada anak-anak, menanamkan nilai pada makna perkataan itu terhadap jati diri si anak.
“Cepat le Maaat. Lembabnya kamu!”, herdik seorang emak.
Suruh cepat, wajar dinyatakan. Melabelkan anak sebagai lembab, di situlah penanaman nilai yang merugikan.
“Hah, dah buat kerja sekolah? Kamu ni memang pemalas!” tengking seorang bapa kepada si anak.
Sewajarnya bertanya sama ada kerja sekolah sudah disiapkan atau tidak itu, sudah menjadi ayat lengkap. Mengapa perlu ditambah dengan label “kamu ini memang pemalas”? Label itulah yang meresap masuk ke dalam diri anak-anak. Sama ada ia suatu ‘doa’ dari ibu bapa atau tidak, ia adalah kemasukan nilai yang amat malang terhadap diri anak-anak.
Label-label itulah yang menjadikan ramai anak muda kita kurang keyakinan diri, tidak bercita-cita tinggi malah memiliki identiti yang tebal diselaputi segala unsur yang negatif.
Sama seperti anak gajah, anak kita dibesarkan dengan idea-idea yang membunuh keupayaan dirinya yang sebenar.
UPAYA MEMILIH
Tetapi, itu titik muhasabah buat ibu bapa.
Manakala bagi si anak, tatkala dirinya berada pada usia mudanya, bentuk-bentuk yang negatif terhadap diri mereka mungkin boleh ditunding kepada kesalahan ibu bapa. Sebaliknya, apabila seorang anak menjangkau usia dewasa, mencapai umur Aqil dan Baligh, si anak sudah belajar memikul tanggungjawab. TANGGUNG perbuatan sendiri, dan JAWAB mengenainya di Sana nanti. Di peringkat ini, dia harus mempunyai keupayaan untuk memilih apa yang baik dan apa yang buruk, menyaring segala tumpahan kebiasaan yang menyelubungi hidupnya di alam pra dewasa.
Setelah ada keupayaan sebegini, dirinya menjadi seorang DEWASA. Bahasa Islam menyebutnya sebagai MUKALLAF.
Mukallaf itu adalah seorang manusia yang mempunyai keupayaan berbekalkan akal fikiran dan panduan-panduan hidupnya, membuat pilihan yang betul dalam kehidupan. Antara baik dan buruk, perbuatan buruknya adalah pilihan dirinya, dan dialah yang dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan itu.Bukan lagi salah orang lain, bukan lagi salah ibu bapa.
Dalam erti kata yang lain, keupayaan membuat keputusan dan pilihan dalam kehidupan adalah latihan yang mesti diberikan kepada si anak semasa mereka bergerak menuju usia dewasa. Apabila si anak membesar tanpa upaya memilih, hakikatnya anak itu diberi makan minum agar fisiologinya meningkat dewasa, tetapi jiwa dan jati dirinya dibiarkan terperangkap dalam alam kanak-kanak, alam yang lemah membuat keputusan, atau salah membuat keputusan.
Tidak mustahil si jejaka bertubuh sasa bermisai lintang, masih kebudak-kebudakan pada otak dan hatinya kerana tidak bisa membuat keputusan di antara yang baik dengan yang buruk.
TELEVISYEN ATAU TANPA TELEVISYEN
Itulah puncanya mengapa saya memilih untuk menyertai ramai dengan menerima kehadiran televisyen di dalam rumah kami.
Tetapi kehadiran televisyen itu datang bersama pakej latihan memilih dan membuat keputusan.
Apa yang boleh ditonton?
Apa yang tidak boleh ditonton?
Kedua-duanya berada di hujung jari, tetapi anak dilatih untuk membuat pilihan yang betul.
“Yop boleh tengok kartun yang lain, tetapi Shin-chan tak boleh,” saya memberitahu anak.
“Kenapa tak boleh?” soal anak saya.
“Sebab Shin-chan biadab. Dia tidak hormat ibu bapa. Comel tetapi kurang ajar. Yop tak nak jadi biadab kepada ibu bapa, kan?” saya cuba berlogika dengan anak.
“Tak nak!” jawab anak saya.
Maka petang itu, anak menonton rancangan yang baik, dan meninggalkan rancangan yang tidak baik. Apa yang disekat petang itu bukanlah menonton televisyen, tetapi menyekat anasir tidak baik. Unsur negatif sebegitu bukan sahaja ada di televisyen, malah di sekolah, di internet, di kejiranan dan di mana-mana sahaja sudut kehidupan. Didikan yang diberi adalah untuk menolak unsur negatif, bukan menolak wasilahnya yang bernama televisyen.
Bagi diri saya, proses seperti ini lebih menyelamatkan untuk anak-anak menempuh realiti yang penuh cabaran itu. Jika di usia tujuh atau lapan tahun, anak-anak mungkin masih boleh disekat dan dikawal keinginan mereka. Tetapi apabila si anak mencecah usia yang lebih dewasa, andai di rumah tiada televisyen, mereka dengan mudah boleh menontonnya di rumah kawan.
Malah di satu peringkat, televisyen mungkin jauh lebih selamat berbanding internet.
Di peringkat proses mengawal untuk latihan memilih ini berlangsung, saya juga memanfaatkan sistem yang memboleh dekoder dikunci dengan kata laluan. Pada hari-hari biasa, hanya satu sahaja saluran kartun yang dibenarkan, manakala saluran yang lain akan dibuka pada masa-masa lapang, juga sebagai ganjaran tatkala selesai menyempurnakan tugasan rumah atau sekolah.
Apa yang penting, tindakan-tindakan ini bukanlah dibuat dalam bentuk hukuman. Sebaliknya si anak diberitahu dengan jelas akan sebab musabab mengapa kita bertindak begitu.
Ia bukan mengawal untuk mengongkong.
Ia adalah kawalan untuk melatih membuat keputusan dan pilihan.
KUALITI DAN KUANTITI MASA
Biar pun televisyen ada di rumah, saya tetap berusaha untuk mewujudkan masa-masa berkualiti antara saya dan isteri bersama anak-anak tanpa televisyen. Ada masanya televisyen ditutup, dan kami sekeluarga duduk bersama-sama berbual, mengulangkaji pelajaran atau bermain bersama-sama.
Kualiti masa bersama, lebih berharga daripada kuantiti masa yang melimpah ruah ketika seluruh keluarga duduk sebumbung, tetapi tidak bersama, kerana hakikatnya semua sedang berkomunikasi dengan televisyen, bukan sesama ahli keluarga.
Sekali lagi, pembetulan banyak perlu berlaku ke atas manusia, bukannya ke atas televisyen. Ada masa, ahli keluarga diajar memilih siaran. Ada masa televisyen ditutup sepenuhnya mengikut keperluan dan keadaan.
REALITI
Tatkala didesak-desak, bimbang juga anak belajar menipu apabila cuba menyembunyikan perbuatannya yang sebenarnya biasa-biasa sahaja. Kemahiran menipu itu bisa menjadi senjata untuk menyembunyikan perbuatan yang nantinya luar biasa pula.
Itulah kekhuatiran saya.
Kekhuatiran tatkala mengendalikan program anak-anak remaja hari ini. Ramai dari kalangan mereka yang mempunyai ibu bapa dan keluarga yang komited dengan Islam, tetapi si anak memberontak dan berjiwa pemberontak. Ia bermula dengan kebosanan hidup, terutamanya apabila mereka mula membandingkan diri dengan kawan-kawan sebaya.
Atas kebimbangan itulah, saya memilih untuk mendekatkan anak dengan realiti kehidupan, dan membawa peti realiti kehidupan (yang penuh ilusi) ke dalam rumah. Cuma, realiti itu ditonton secara selektif, melalui proses membuat pilihan.
Ia jalan yang sukar, tetapi itulah kesukaran sebuah kehidupan.
Apabila bercakap tentang realiti…
* Ustaz Hasrizal aktif menulis di blog beliau di http://saifulislam.com/ .Beliau juga telah menerbitkan buku dan merupakan seorang penceramah motivasi.
Shin Chan bila besar jadi budak yang baik ye...
-------------------------------------------------------------------------------------------------
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"...
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment