"Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Padanya Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya juga dimasukkan ke Syurga, dan padanya juga dikeluarkan. Dan tidak terjadi hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat." Hadith riwayat 5 perawi kecuali Bukhari.
Maka hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia dalam seminggu. Di dalamnya ada waktu yang sangat mustajab doa. Di dalamnya disyariatkan solat Jumaat. Di dalamnya disyariatkan khutbah Jumaat. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Jumuah, ayat 9:
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat Jumaat maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu ketahui.
Di antara hikmah Allah s.w.t mewajibkan solat Jumaat adalah agar kita sentiasa diperingati untuk menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah. Malah wasiat untuk bertaqwa kepada Allah merupakan satu rukun yang wajib pada khutbah Jumaat. Begitu juga setiap hari Jumaat merupakan peluang untuk kita mendengar nasihat, peringatan dan kebesaran Allah s.w.t, agar kita memperbaharui keimanan kita kepada Allah, mengukuhkan lagi aqidah kita dan menambahkan lagi cinta kita kepada Islam. Inilah antara hikmah diadakan khutbah pada solat Jumaat.
Amat sedih sekali jika kita menganggap solat Jumaat ini sebagai satu perkara yang rutin, yang diulangi tanpa ada apa-apa kesan didalam jiwa. Malah lebih malang lagi apabila ada sebahagian kita menganggap waktu khutbah Jumaat sebagai waktu rehat, waktu melelapkan mata, waktu tidur. Ada sebahagian jemaah yang bukan sahaja tidak menghayati khutbah yang disampaikan, malah dibuai mimpi, seolah-olah khutbah Jumaat adalah cerita-cerita belaka. Tentu kita tidak mahu menjadi orang yang khayal ketika khutbah disampaikan. Tentunya kita tidak mahu menjadi orang yang tidur ketika khutbah disampaikan.
Kerana orang yang tidur dan khayal ketika khutbah disampaikan akan terlepas fadhilat mendengar khutbah, mereka akan terlepas meningkatkan ketaqwaan mereka. Akan terlepas dari mereka peluang untuk menambahkan keimanan mereka. Rasulullah s.a.w melarang kita dari berbual ketika khutbah sedang disampaikan. Sesiapa yang berbual maka akan terlepas pahala Jumaat mereka. Mengapa? Agar kita dapat menghayati khutbah. Inikan pula seorang yang tidur ketika khutbah disampaikan. Bagaimanakah mereka akan mendapat rahmat Allah?
Mungkin tajuk khutbah yang disampaikan sudah biasa kita dengar. Mungkin juga khatib yang menyampaikan khutbah tersebut tidak mahir berpidato. Mungkin juga kita tidak faham apa yang disampaikan. Tetapi ini bukan alasan untuk kita khayal atau tidur ketika khutbah disampaikan. Kerana rahmat yang Allah turunkan tidak bergantung keseluruhannya kepada isi khutbah Jumaat, ataupun cara khatib menyampaikan khutbah, ataupun bahasa khutbah itu sendiri. Rahmat yang Allah turunkan bergantung kepada tahap khusyuk dalam hati kita. Bagaimana kita boleh mendapat khusyuk kalau kita tidur? Jika kita tidak dapat menghayati khutbah, maka sebaiknya berzikirlah dalam hati. Atau kita mengingati kembali segala dosa-dosa dan maskiat yang kita telah lakukan. Dan bersegeralah meminta ampun daripada Allah s.w.t, moga-moga ketika kita memohon ampun dari Allah tersebut adalah waktu mustajab doa. Kita tidak tahu samada kita dapat berjumpa Jumaat akan datang atau tidak. Malah kita tidak tahu samada ajal kita akan tiba apabila kita selesai dari mengerjakan solat Jumaat ini. Maka anggaplah ini merupakan solat Jumaat yang terakhir kita di muka bumi ini. Anggaplah setiap Jumaat merupakan yang terakhir kita di muka bumi ini. Tidakkah kita mahu bertaubat sebelum ajal datang menyambar. Allah s.w.t berfirman:
"Bagi setiap umat ajalnya. Apabila datang ajal mereka maka tidak diperlambatkan atau dipercepatkan sedikitpun."
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah memastikan bahawa niat kita diperbetulkan apabila kita ingin menunaikan solat Jumaat. Adakah kita pergi ke masjid hanya sekadar melepaskan tanggungjawab solat Jumaat? Adakah kita pergi ke masjid untuk berehat? Atau adakah kita pergi ke masjid untuk mendapat rahmat dari Allah? Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadith yang masyhur:
Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat. Dan sesungguhnya setiap seorang mendapat hasil dari apa yang diniatkan. Oleh itu, marilah kita perbetulkan niat kita apabila kita ingin menunaikan solat Jumaat. Kita pergi ke masjid atas niat untuk mendapat rahmat Allah s.w.t. Insya Allah, rahmat Allah yang akan kita perolehi kelak. Dan dengan rahmat Allah, kita akan dapat mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan mereka tidak takut kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka tergolong dalam orang-orang yang diberi petunjuk." (At-Taubah, 18)
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.
Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.
“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”
Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.
Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Termizi).
Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.
Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”
Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:
* Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
* Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
* Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.
* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
* Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
* Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah.
Oleh itu marilah kita memuliakan hari Jummat yang penuh dengan Fadhilat.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"...
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment