“Kun Fayakun” serangkap ayat Al-Quran di akhir surah Yassin. Tempat letaknya pada ayat : 82. Penuh sarat makna yang berselirat walau kalamNYA sedikit tercatat. Jika diamati secara mendalam, kita boleh mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Dalam erti kata sebenar, memahami konsep firman Allah itu yang bermaksud “Jadilah!maka terjadilah ia”. Kefahaman bagaimana untuk kita mempraktikkannya? Ayuh mari kita baca lebih lanjut.
“Dan tidaklah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan yang serupa dengan itu? Benar, Dia berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yassin : 81)
“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.” (Surah Yassin : 82)
“Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Surah Yassin : 83)
Adegan pertama memaparkan sebuah episod perit perjuangan seorang suami yang menyara isteri dan dua anaknya. Menjadi penjual kaca dan bingkai. Biar panas membakar, biar dibasahi hujan menimpa dia mampu mencari setitis rezeki buat makanan ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Beberapa ujian sehari-hari dipaparkan membuatkan fikiran saya melayang akan seorang lelaki bernama ayah. Tidak dilupai, babak suspen ketika kaca yang diharapkan untuk memberikan sedikit pulangan lumayan gugur menghempas bumi. Semalaman mengilap sebingkai cermin. Tetapi akhirnya pecah berderai. Luluh hati si miskin. Namun, konsep sabar dan faham erti takdir menepis segalanya.
“Ampuni hamba yang hampir bersangka buruk kepadamu Ya Allah..ampuni hamba yang hina yang tak mampu membayangkan rencanamu yang sempurna..” Rintih si suami bermuhasabah seketika.
Begitu juga watak seorang isteri membesarkan anak-anak dalam teratak usang seakan pondok menunggu durian. Setia membantu suami disisi. Juga tak mudah berputus asa dan mengharapkan kasihan belas manusia. Saya tertarik melihat seorang ibu yang sanggup berlapar kerana ingin mengenyangkan anak-anak serta suami. Itukah pengorbanan si ibu?
“Bapa sudah bekerja keras..yang penting jangan berputus asa.” Sayu menenangkan hati suami.
Mujur ada anak yang memahami situasi keluarga. Keluar mencari sekelumit harapan, lalu membawa tuah berkat kesabaran dan doa. Akhirnya bertemu seseorang lelaki kaya yang akhirnya termakbul doa mereka. Kecerahan selepas berusaha menunjukkan kekuasaan Allah SWT mampu menghadirkan kesenangan dalam kesusahan. Dari seorang penjaja mampu memiliki gudang niaga.
Ironisnya, adegan yang terlakar wujud peranan besar dan watak masing-masing. Si suami sebagai ketua, isteri pembantu, anak-anak penghibur di kala duka. Sempurna melingkungi sebuah kalung perjalanan kehidupan. keterikatan memahami konsep ketuhanan, ketauhidan, kesabaran, kesungguhan dan kehambaan.
Pendek kata, filem ini memberikan suatu pengajaran berguna. Sesuai untuk tontonan umum. Jalan cerita yang digarap dengan baik. Bahkan mempunyai modul yang menarik dalam aplikasi sebuah makna “Kun Fayakun”.
Jangan dirunsing bila kaki terperelus dalam lumpur keperitan. Kerana kita punya Pencipta yang tahu segala-gala perencanaan. Peranan selaku hamba, kebergantungan itu harus selalu kepada Ilahi. Kerana hamba dijadikan untuk menyembah Pemilik alam. Mana mungkin Allah SWT tidak mendengar rintihan kesusahan jiwa suci yang sentiasa mengharap pertolongan dariNYA. Itulah sebenar-benar konsep ketauhidan dalam mengesakan Allah SWT. Namun pergantungan itu bukanlah bererti perlu mengoyangkan kaki menunggu rezeki turun menyimbah bumi. Usahalah, berdoa, lalu bertawakkal. Kita ada WATAK dan PERANAN kerana kita MANUSIA.
Ibnurashidi
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"...
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment