KUALA LUMPUR: Masih terdapat segelintir warga kota tanpa segan silu memakai cekak rambut yang menyerupai tanduk syaitan ketika Sambutan Ambang 2009 di Dataran Merdeka, di sini malam tadi.
Lebih memeranjatkan tinjauan Harian Metro mendapati ada di kalangan orang dewasa termasuk ibu bapa yang turut memakai ‘tanduk syaitan’ berkenaan.
Cekak rambut itu juga didapati dijual di sekitar kawasan Dataran Merdeka oleh pihak yang mementingkan keuntungan dipercayai warga asing secara terbuka di kaki lima dengan harga semurah RM5 setiap satu.
Sebelum ini Harian Metro, pernah melaporkan kenyataan bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, bahawa pemakaian perhiasan menyerupai syaitan itu adalah haram bagi umat Islam.
Katanya, tindakan memakainya adalah dosa besar serta syirik bergantung kepada niat pemakainya sekiranya golongan pemakainya berniat dan percaya penggunaan itu boleh membawa kepada kuasa lain maka ia adalah haram sama sekali.
Ia nyata bertentangan dengan syariat Islam kerana menyerupai syaitan bermakna berkawan dengan syaitan atau iblis, tidak kira sama ada pemakainya itu mempunyai niat tertentu atau sekadar suka-suka.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, berkata dia kesal dengan tindakan segelintir warga kota beragama Islam yang tanpa segan silu memakai perhiasan syaitan itu.
Katanya, walaupun pemakaiannya sekadar suka-suka, hakikatnya penggunaan perhiasan berbentuk tanduk itu boleh merosakkan akidah seseorang.
“Saya tidak faham dengan sikap segelintir warga kota terutamanya yang beragama Islam. Walaupun sudah dijelaskan ia adalah haram dan berdosa, namun mereka langsung tidak mengendahkan teguran daripada tokoh agama menyatakan ia haram dan berdosa.
“Sepatutnya pelbagai cara lagi boleh digunakan bagi menyambut kedatangan tahun baru ini dan bukan diselitkan dengan unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Menurutnya, apa yang lebih dikesalkan pihak yang berkaitan sepatutnya memantau penjualan perhiasan berkenaan bagi mengelakkan orang ramai membelinya sekali gus memakainya.
Sementara itu di Bukit Bintang, polis mengeluarkan arahan merampas penyembur salji digunakan pengunjung menyambut sambutan tahun baru di sini malam tadi.
Menurut sumber, arahan itu dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment