KAHERAH, 18 Jan (Hrkh) - Misi Kemanusiaan ke Gaza melakukan urusan peringkat akhir sebelum berangkat ke Gaza tengah malam ini (waktu Mesir).
Semalam, Yayasan Amal Malaysia membuat urusan dan permohonan serta segala dokumentasi yang diperlukan untuk meneruskan misi yang dibawa ke Gaza.
Antara pihak yang terbabit dalam urusan ini adalah Persatuan Perubatan Arab dan Kedutaan Malaysia di Mesir.
Presiden Yayasan Amal Malaysia, Husin Ismail (Cikgu Husin) sebelum itu dengan diiringi pimpinan tertinggi pertubuhan amal tersebut iaitu Timbalan Presidennya, Jamaluddin Elias;Naib Presiden I,Dr Abdul Rani Osman;Naib Presiden II,Dr Hamdan Mohamed dan Pengerusi Yayasan Amal Selangor,Dr Ahmad Yunus telah menyampaikan RM100,000 yang merupakan sebahagian sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada Persatuan Perubatan Arab untuk menguruskan bekalan perubatan dan makanan kepada rakyat Palestin di Gaza.
"Ini adalah sebahagian sumbangan yang diterima terutamanya daripada Kerajaan Negeri Selangor dan pihak-pihak lain termasuk Harakah,"jelasnya kepada Harakahdaily selepas majlis ringkas pemberian sumbangan tersebut.
Tambahnya, sebahagian besar sumbangan yang diberikan itu adalah datang daripada Kerajaan Negeri Selangor yang sebelum ini menyumbang sebanyak RM500,000 untuk membantu rakyat Palestin.
"Ini hanyalah sebahagian sahaja...dan baki sumbangan yang diterima turut telah disumbangkan kepada penduduk Gaza yang sedang dirawat di Nasser Medical Institut,"katanya lagi.
Sementara itu, pihak Yayasan Amal Malaysia juga telah menyediakan pelbagai bahan makanan daripada sumbangan derma orang ramai untuk diberikan kepada mangsa di Gaza.
Dianggarkan lebih 300 bungkusan makanan dan minuman telah disiapkan dan sedia untuk dibawa dalam perjalanan misi ke Gaza hari ini.
Dalam pada itu, menurut Dr Rani, perjalanan yang akan bergerak hari ini agak mencabar bukan sahaja kerana jaraknya yang agak jauh tetapi juga turut meliputi aspek keselamatan terhadap anggota misi.
"Kita akan ambil masa selama enam jam untuk tiba di sempadan. Dan ia tidak mudah,bukan sahaja faktor jauh tetapi yang lebih penting adalah aspek keselamatan.
"Sepanjang perjalanan nanti akan ada beberapa 'check point' dan adalah penting untuk kita pastikan semua dokumen siap dan lengkap,jika tidak akan sia-sia segala usaha yang dibuat selama ini,"jelasnya ketika memberikan taklimat kepada semua anggota misi.
Selain itu, Cikgu Husin turut memaklumkan perjalanan akan bermula tengah malam nanti dijangkakan akan sampai jam 6 pagi esok.
"Kita akan bertemu dan membuat kunjungan ke Hospital Awam El-Arish untuk memberikan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada mangsa Gaza di sana.
"El-Arish merupakan bandar terakhir kepada semua NGO dan pihak yang ingin memasuki Rafah dan seterusnya ke Gaza bagi membuat misi kemanusiaan,"jelasnya.
Tambahnya, dengan sumbangan dana orang ramai sebanyak tiga buah treler yang berisi makanan,minuman dan ubat-ubatan akan dibawa ke Gaza. - mks. _
-------------------------------------------------------------------------------------------------
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment