سلامت داتڠ .. (^_^)


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بِسْمِ اَللَّهِ اَلرَّحْمَنِ اَلرَّحِيمِ.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

ربنا هب لنا من أزواجنا وذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما


Jangan Lupa Membaca Bismillah dan Berselawat Kepada Nabi S.A.W. Semoga Pengembaraan Anda di Blog Najeeba DiBerkati Allah..Ameen.. Syukran wa Jazakallhu Khairan.. :)

Daisypath Vacation Ticker

Sunday, January 18, 2009

++ Eksklusif: Temuramah dengan bekas imam Masjid al-Aqsa

SYEIKH Dr Mohammed Mahmoud Siyam berasal dari Gaza, Palestin. Mantan imam dan khatib Masjid Al-Aqsa serta mantan Rektor Universiti Islam Gaza adalah seorang tokoh yang sangat dikenali di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan isu-isu umat Islam di Palestin.

Beliau yang telah lebih 20 tahun diusir dari tanah airnya kini berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Institut Al-Quds Antarabangsa dan Presiden Pertubuhan Ikatan Ulama Palestin di Yaman. Untuk mendapatkan pandangan beliau berhubung serangan tentera Israel terhadap Gaza, wakil Harakah, IMRAN AL-MALIZI menemui beliau di kediamannya di Sana�a, Yaman baru-baru ini.

HARAKAH: Sejak lebih kurang setahun lalu, ketika bermulanya kepungan terhadap wilayah Gaza, adakah tuan sudah menjangkakan serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel baru-baru ini? Mengapa sekarang? Kenapa tidak beberapa bulan yang lalu?

SYEIKH SIYAM: Bismillahir-Rahman ar-Rahim. Saya berterima kasih kepada akhbar Harakah dan saudara-saudara saya dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ya, memang benar. Kita tidak mengharapkan sesuatu daripada seteru melainkan hanya permusuhan. Tetapi kita tidak dapat menjangka kebengisan dan serangan seperti sekarang ini. Betapa dahaganya mereka menghirup darah. Sejak hari pertama serangan, beratus-ratus nyawa telah terkorban dan beribu-ribu yang tercedera. Serangan ini didukung oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab. Seluruh dunia menyaksikan dengan telinga dan mata mereka. Benar, terdapat usaha yang sedang dijalankan, tetapi tidak sampai kadar yang sepatutnya.

Kenapa serangan dibuat sekarang ini? Terdapat dua sebab. Yang pertama, syarat yang diletakkan oleh Hamas kepada musuh untuk menghentikan serangan ialah supaya laluan-laluan di sempadan dibuka dan kepungan terhadap Gaza dihentikan. Akan tetapi, pihak Zionis tidak mahu menerima syarat itu sepanjang enam bulan yang lalu. Cukuplah! Hamas tidak mahu memperbaharui rundingan gencatan senjata dan sanggup menanggung akibatnya.

Sebab yang kedua ialah tempoh berakhirnya pemerintahan Mahmoud Abbas semakin dekat. Hamas tidak mahu menerima beliau lagi dan pihak Zionis masih mahu memperbaharui tempoh jawatan yang disandangnya yang berakhir pada 8 Januari 2009. Lalu berakhirlah kekuasaan beliau. Kerana itu mereka menyerang kedudukan Hamas, mereka mahu melanjutkan kuasa Mahmoud Abbas kerana dia berkhidmat bagi pihak mereka, mengikut arahan mereka. Dia bersama-sama dengan pihak keselamatan Palestin bertungkus-lumus mempertahankan kedudukan pemerintah Israel dan menangkap para pejuang Palestin. Ini adalah sebahagian sebab mengapa serangan dibuat pada masa ini.

Maksud tuan, usaha gencatan senjata yang terdahulu telah menemui kegagalan?
Gencatan senjata yang diusahakan dahulu tidak mendatangkan hasil dan gagal sepenuhnya. Ini kerana antara syarat yang dikenakan ialah pembukaan laluan-laluan di sempadan (Gaza). Bermakna membenarkan bantuan kewangan, bahan makanan, ubat-ubatan dan bahan api supaya dibawa masuk. Tanpa bahan api, janakuasa elektrik tidak dapat beroperasi. Pihak Israel tidak menerima syarat ini lalu Hamas juga menolak untuk memperbaharui tempoh gencatan senjata.

Mengapa mereka menyerang Gaza dan bukan Tebing Barat?
Permusuhan Zionis terhadap Gaza dan Tebing Barat sebenarnya sama sahaja. Akan tetapi di Tebing Barat, mereka berasa selesa kerana terdapat pemerintah (Fatah) yang sedia berbuat apa sahaja bagi pihak musuh. Akan tetapi, pemerintahan (Hamas) di Gaza adalah bebas dan tetap pendirian mereka. Oleh kerana itu, Gaza menjadi sasaran dalam serangan ini.

Terdapat dakwaan bahawa semua yang berlaku ini berpunca daripada kewujudan Hamas dan ancaman Kataib Al-Qassam (sayap tentera Hamas) di Gaza. Akan tetapi, tragedi pembunuhan Deir Yassin (1948), penyembelihan Sabra dan Shatilla (1982) yang dilakukan oleh Yahudi Zionis berlaku sebelum penubuhan Hamas (1987) lagi. Apa pandangan tuan?

Bukan sekadar itu, terdapat wilayah di Tebing Barat yang tidak berada di bawah pemerintahan Hamas di mana tentera penjajah (Israel) menyerang rumah-rumah rakyat Palestin, membunuh orang awam, menangkap para pejuang dengan bantuan pihak keselamatan Palestin. Hamas tidak memerintah di wilayah itu dan tiada serangan roket Hamas yang dilancarkan di sana.

Begitulah, pihak musuh tidak akan berdiam diri. Lalu mereka mencari hujah-hujah untuk mewajarkan serangan. Dahulunya, Amerika Syarikat, Zionis dan beberapa pemimpin Arab yang mengharapkan Hamas memasuki pilihan raya. Sedangkan Hamas tidak berhajat untuk itu. Kemudian Hamas memenangi pilihan raya tersebut (Januari 2006) lalu membentuk kerajaan.
Bagaimana pula ketika ini mereka mahu menolak kewujudan Hamas? Sedangkan mereka yang beriya-iya menuntut Hamas menyertai pilihan raya. Sebenarnya, mereka mahukan Hamas mengikut saduran mereka. Iaitu Hamas yang tunduk dan patuh seperti pemerintah Palestin yang lain. Saya tidak mengatakan parti Fatah keseluruhannya, akan tetapi orang-orang yang bersikap seperti Zionis dan Amerika yang berada dalam Fatah. Seperti Mahmoud Abbas dan Mohamed Dahlan dan sebagainya. Mereka mahukan kerajaan dan pemerintahan yang dibentuk itu cenderung mengikut kemahuan mereka.

Apakah jangkaan tuan selepas ini khususnya setelah tamat tempoh pemerintahan Mahmoud Abbas pada 8 Januari 2009?

Pada peringkat awal, kita melihat serangan tentera Israel adalah agresif. Namun kemudian itu, mereka mengundurkan sedikit langkah kerana serangan-serangan tersebut tidak memberi kesan untuk menjatuhkan Hamas. Alhamdulillah, telah gugur syahid daripada kalangan para pejuang seperti Dr Nizar Rayyan. Juga beratus-ratus orang lagi menemui syahid dan beribu-ribu yang tercedera. Akan tetapi, kehormatan Hamas masih kekal terpelihara dan sokongan rakyat masih kuat.

Oleh itu, pihak musuh dilihat cuba meminta campur tangan Amerika Syarikat dan Mesir agar rundingan gencatan senjata dapat dibuat dengan pihak Hamas. Bagi Hamas sendiri tiada masalah untuk melakukan gencatan senjata dengan syarat laluan-laluan di sempadan mesti dibuka. Mereka lebih rela mati dengan kemuliaan daripada mati kerana kelaparan dan kebuluran. Oleh itu, pembukaan laluan-laluan di sempadan adalah kunci supaya keadaan kembali seperti sedia kala.

Kita melihat sampai ke tahap sebegini, penduduk Gaza masih dapat bertahan. Apakah sebab utama yang mendorong mereka bertahan?

Sebabnya banyak. Yang pertama, mereka dapat belajar daripada penghijrahan penduduk yang terdahulu meninggalkan kampung halaman mereka. Akhirnya mereka yang berhijrah ini bertebaran di kem-kem pelarian dan sebagainya. Mereka mengatakan lebih baik mati di tanah air sendiri daripada keluar meninggalkannya. Yang kedua, adalah pendidikan yang diterapkan agar mereka dapat bersabar, bertahan untuk tempoh yang panjang dan mengerahkan segala kemampuan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kamu boleh melihat, mana-mana bangsa di muka bumi ini, jika mereka ditekan, mereka akan menjatuhkan dan menggulingkan pemerintah mereka. Benar atau tidak? Akan tetapi, di Gaza keadaannya berbeza.

Lebih kuat tekanan yang dikenakan, lebih kuat sokongan rakyat kepada pemerintahan Hamas. Ini diakui sendiri oleh pihak musuh. Kerana penduduk Gaza mahukan pemerintah yang berani menghadapi musuh dan mereka tidak mahu menyerah kalah supaya hak-hak mereka tidak hilang. Oleh kerana itu, Hamas adalah simbol ketahanan dan mereka mengambil pelajaran daripada itu. Kamu dapat menyaksikan golongan kanak-kanak dan wanita melalui siaran televisyen dan media massa, mereka mengatakan walaupun rumah-rumah mereka hancur musnah, mereka tetap memohon agar Hamas dapat bersabar dan bertahan.

Sehingga kini berapakah bilangan mangsa yang terkorban dan tercedera dalam serangan tersebut?

Sehingga hari kelapan serangan yang dilancarkan, jumlah mereka yang mendapat syahid (terbunuh) telah melebihi 430 orang dan lebih 2000 orang yang mendapat kecederaan.
Hamas telah mengumumkan 'intifada ketiga'. Adakah Hamas mempunyai persiapan dan strategi tertentu untuk peringkat ketiga dalam gerakan kebangkitan rakyat ini?

Hamas dalam keadaan menghadapi serangan yang bertalu-talu�maka persediaan dan persiapan pada setiap masa adalah suatu kemestian. Gerakan intifada ini juga menuntut penglibatan rakyat dalam menyemarakkannya. Penduduk Gaza sememangnya diketahui peranan mereka dalam kebangkitan ini dan begitu juga di rakyat Palestin di Tebing Barat sebagaimana yang dapat kamu lihat di Nablus, al-Quds, Khalil, Ramalah dan lain-lain selepas solat Jumaat.

Suasana di Tebing Barat penuh sesak dengan penduduk yang keluar berdemonstrasi. Sehingga terdapat khabar yang menyebut bahawa Mahmoud Abbas berkemungkinan akan menurunkan tandatangan untuk membebaskan tahanan-tahanan yang dipenjarakan dari kalangan pejuang Hamas. Memadailah kekuatan intifada ini dengan bertahannya saudara-saudara kamu dalam Hamas. Bahawa apa yang berlaku ini telah membangkitkan kesedaran dunia seluruhnya.

Termasuk di bandar-bandar utama di negara-negara Arab dan dunia Islam serta tidak terkecuali bandar-bandar di Eropah dan Amerika Syarikat yang penduduknya keluar berdemonstrasi. Iaitu seluruh dunia menyatakan pendirian mereka berhubung isu ini seperti rakyat di negara China, Rusia dan kamu juga mengetahui suasana di Malaysia dan Indonesia serta tidak lupa juga negara Iran.

Apa pandangan tuan tentang sikap Presiden Republik Arab Mesir terutamanya berhubung dengan isu sempadan Rafah?

Presiden Hosni Mobarak cuba berdalih dengan hujah-hujah yang tidak berpijak di bumi nyata. Beliau menyatakan bahawa sempadan laluan Rafah adalah di bawah kuasa penjajah Israel. Timbalan Hakim Mahkamah Tinggi di Iskandariah telah menolak hujah tersebut. Katanya, hujah presiden republik tersebut adalah salah. Adakah sempadan negara kita menjadi milik penjajah Israel sedangkan sempadan tersebut terletak di negara Mesir dan Palestin. Kereta kebal Israel yang mengelilingi wilayah Gaza akan tetapi mereka tidak dapat sampai ke sempadan Rafah, seorang tentera mereka pun tidak dapat dihantar ke sana.

Jadi bagaimana pula pemerintah Israel dikatakan menguasai sempadan tersebut? Kerana itu, sebagaimana yang disebutkan oleh timbalan hakim tersebut bahawa semua ini adalah desakan dan tekanan dan Amerika Syarikat dan Zionis. Lalu Presiden Mesir hanya tunduk pada tekanan itu. Kerana itu terdapat desakan dari Turki, Malaysia dan negara-negara lain yang menuntut agar sempadan Rafah ini dapat dibuka. Kerana ia adalah satu-satunya jalan darat yang dapat digunakan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

Kita mengetahui bahawa negara Qatar telah menghantar bantuan ke Gaza. Apakah yang dilakukan oleh negara-negara Arab yang lain?

Negara-negara Arab yang lain juga berusaha untuk menghantar bantuan, contohnya negara Yaman ini sudah tentu. Qatar telah dilihat mendahului dalam usaha ini. Negara-negara Teluk juga bersedia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti itu. Iaitu kesemuanya berusaha untuk menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan. Akan tetapi, untuk menjamin bantuan ini pasti sampai adalah agak sukar. Kerana bantuan ini akan terkandas di lapangan terbang di negara Mesir yang berdekatan dengan Gaza. Sehinggakan negara Qatar sendiri menuntut untuk mengambil semula bantuan tersebut sekiranya tidak dibenarkan melepasi sempadan.

Malah Qatar juga ingin menghantar satu kelengkapan hospital bergerak dan sudah pun bersedia untuk berlepas dari Doha, akan tetapi membatalkan hasratnya itu apabila mengetahui ianya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk. Kita tidak boleh mengkritik negara-negara yang tidak menghulurkan bantuan kerana hujah mereka juga kuat. Bahawa bantuan-bantuan ini tidak boleh dibawa masuk. Peristiwa bantuan yang dihantar melalui kapal laut yang kemudiannya disekat sudah ketahui umum.

Syeikh Abdul Majid al-Zindani telah menyeru rakyat Yaman untuk mengumpulkan derma dan bantuan yang akan dihantar melalui kapal laut. Adakah tuan menjangkakan bantuan ini akan sampai kepada penduduk Gaza?

Kalau tidak silap saya kempen tersebut diberi nama 'Bahtera Penghormatan Yaman untuk Rakyat Gaza'. Apapun, usaha ini akan memberikan tekanan kepada pemerintah Mesir jika mereka menyekatnya. Kerana ini menunjukkan secara jelas bahawa merekalah yang melakukan kepungan terhadap semenanjung Gaza. Adakah bantuan rakyat Yaman ini akan sampai ke sana melalui Terusan Suez? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Tuan pernah ke Malaysia baru-baru ini. Apakah pandangan tuan mengenai sokongan rakyat Malaysia kepada perjuangan Palestin daripada pihak kerajaan dan rakyat jelata?

Pertama sekali, rakyat Malaysia termasuk dalam barisan pertama dari kalangan dunia Arab dan Islam yang menyokong perjuangan rakyat Palestin. Jika saya mengatakan bahawa Malaysia mendahului beberapa negara Arab yang lain, saya rasa ia tidak keterlaluan. Itu jika dikira dari sudut sokongan dari rakyat dan masyarakatnya. Saya telah mengelilingi negeri-negeri di Malaysia dan anda pernah bersama dengan saya, kita merantau ke serata pelosok negeri di Malaysia dan jumlah dana bantuan yang diperolehi adalah memberangsangkan. Kita dapat mengumpulkan kutipan derma yang sangat besar dalam hanya beberapa hari. Alhamdulillah. Saya mewakili rakyat Palestin ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada umat Islam di Malaysia.

Manakala sokongan dari pihak kerajaan Malaysia pula adalah dari segi politik. Mereka menyatakan sokongan dalam persidangan-persidangan antarabangsa yang disertainya. Tidaklah ketinggalan sebagaimana para pemerintah negara-negara Arab dalam menyatakan pendirian berhubung isu Palestin. Sesungguhnya saya merasakan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada golongan yang berhaluan Islam, sekular dan sebagainya daripada pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat kesemuanya bersepakat menyatakan sokongan kepada isu Palestin.
Ini sangat jelas. Di sesetengah negara, sokongan hanya di pihak rakyat dan tidak daripada pihak pemerintah dan begitulah sebaliknya. Alhamdulillah, di Malaysia dari rakyat dan kerajaan bersatu dalam menyatukan pendirian mereka. Sama seperti di Yaman, Sudan, Syria dan kebanyakan negara yang lain. Sebagaimana Qatar, walaupun negaranya kecil, namun dari segi sokongan, sumbangan dan kesungguhannya adalah sangat besar.

Apakah pandangan tuan pada Parti Islam SeMalaysia, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari segi memperjuangkan isu Palestin ini?

PAS adalah lambang kemuliaan bagi rakyat Malaysia. Ini kerana isu Palestin adalah perkara utama yang diberikan penekanan dalam parti yang penuh kemuliaan ini. Dari segi kemampuan mereka untuk menyebarkan maklumat melalui media, mereka tidak ketinggalan. Dengan infak harta benda juga mereka tidak berada di belakang. Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang yang juga merupakan bekas Menteri Besar Terengganu adalah di antara pengasas Institut Al-Quds Antarabangsa bersama dengan para ulama lain (termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi) menganjurkan usaha membantu penduduk Palestin di Baitulmaqdis supaya tidak berganjak dari penempatan mereka di mana pihak penjajah Israel mahu menghapuskan kedudukan mereka di kota tersebut dan seluruh bumi Palestin secara umumnya. Para pemimpin dalam PAS juga tidak ketinggalan dalam lapangan penulisan.

Sebagai contoh, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pernah menulis sebuah buku dalam bahasa Arab yang sangat mendalam kesannya. Buku itu bertajuk 'Filastin: Min Qutto' al-Tariq ila Kharitoh al-Tariq' (Palestin: Dari Peta Perjalanan kepada Perompak Jalanan) daripada tajuknya sahaja kita dapat melihat keperihatinan beliau. Bukan sekadar itu, PAS juga melalui sebaran am, risalah dan sebagainya membantu memperjelaskan isu Palestin kepada rakyat Malaysia. Begitu juga dengan menganjurkan seminar, persidangan dan menjemput para ulama untuk berbincang mengenai isu ini dan banyak lagi. Saya juga tidak melupakan usaha yang bersungguh-sungguh oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul-Am PAS dan Menteri Besar Kelantan dalam pendiriannya, khutbahnya, ceramahnya dan bantuan kewangan yang dihulurkan. Tiada akhbar selain Harakah yang mampu untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia berhubung isu Palestin ini.

Akhir sekali, apakah pesanan tuan untuk rakyat Malaysia?

Saya mengharapkan untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang saya harapkan untuk bangsa saya dan umat Islam. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada tubuh ummah. Segala perselisihan hendaklah dijauhi. Fitnah itu tidur dan Allah melaknat orang yang membangkitkannya. Rakyat Malaysia memang terdiri daripada pelbagai aliran bahkan juga berbeza pegangan agama. Akan tetapi dengan akhlak Islam, kita mampu mendekati mereka untuk kepentingan Islam dan kaum muslimin. Saya mendapat tahu agak ramai yang memeluk Islam dari kalangan mereka.

Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat seorang doktor perubatan yang merawat sebuah keluarga non-Muslim, lalu mereka kesemuanya memeluk agama Islam. Alhamdulillah. Suri teladan di Malaysia ini sangat cemerlang. Saya mendoakan semoga negara Malaysia dapat memantapkan pertumbuhan ekonominya juga. Saya juga ingin menyebut di negeri Terengganu suatu ketika dahulu dalam pemerintahan PAS, tidak berlaku penindasan, masyarakat dapat beriltizam dengan akhlak Islam, urusan perniagaan berjalan tanpa penipuan, kerajaan negeri tidak merampas hak rakyat dan keamanan yang berlaku di sana.

Lalu saya berpesan supaya umat Islam di Malaysia dapat mempamerkan suri tauladan yang baik, dengan itulah yang dapat mendekatkan masyarakat dengan ajaran Islam dan membawa negara kamu ke hadapan dari segi peradaban dan pembangunan. Wallahu'alam. - azm

(wawancara ini juga boleh diperolehi di dalam Harakah keluaran terbaru 16 Januari yang sudah berada di pasaran dan dapatkan juga kalendar percuma versi Harakah)


-------------------------------------------------------------------------------------------------
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"...

0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:


Najibah Ali's Facebook Profile

Mari Me'release' tension~

To those yang mengantuk especially with this gloomy weather or yang tengah stress, pls do this simple exercise below :)

Selamat Mencuba!!

ni ala taichi sikit la… sebagai intro dan warming up..

tiru la macam ni… untuk melegakan bahu dan leher..

wa..wa..aaa

gerak kekanan kemudian ke kiri..

gerak ke kiri kemudian ke kanan

ikut je ler… jangan terpusing kepala udah la..

tepuk kuat kuat kat dahi.. ni untuk hilang mengantuk..

dah tu buat gerakan tangan dan badan… buat macam happy aje..

kemudian goyang2 kaki dan badan sikit… buat macam takde masalah…

buat secara agresif pula… jangan peduli apa orang lain kata..

hilangkan semua stress…

pusingkan kepala…

tengok muka kat cermin sambil goyang2.. lawa tak…

akhir sekali buat joget kucing…

--------------

kalau tak hilang juga stress tu ambil bantal kecik gi tidur bawah meja..

Sekian~

Jenguk..Jenguk...

Renungan Sejenak -

"Mahkota kemanusiaan ialah rendah hati." "Jangan memberi makanan kepada orang lain yang anda sendiri tidak suka memakannya." "Yang memimpin wanita bukan akalnya, melainkan hatinya."

People COME People GO ++ Promotion Link

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++ PhotobucketBoycott Pictures, Images and PhotosPhotobucketFREE PALESTINE PhotobucketFREE PALESTINE Quran Auto ReciterSearch in Quran and Hadith
iluvislam