www.iLuvislam.com
MarBu
editor : kasihsayang
Setelah lama bertangguh untuk menulis berkenaan satu produk yang popular daripada Syarikat Gejala Sosial Berhad (SGSB). Dek kerana berasa rendah diri dan bimbang dugaan yang lebih mencabar akan menduga iman senipis kulit bawang ini apabila mengulas tentang produk terlaku ini, saya akhirnya membuat keputusan untuk menarikan jari di atas papan kekunci laptop kesayangan, Syed Qutb. Saya memberanikan diri membuat artikel ini berikutan sahabat saya yang mengadu berasa kurang selesa dengan promoter dan jurujual daripada syarikat ini yang galak mempromosikan produk penuh berduri mereka. Produk yang saya maksudkan ialah budaya couple yang menjadi makin serius pada hari ini.
Penyakit ini bukan hanya mengenai remaja yang berpeleseran sana-sini dan tidak terdedah kepada tarbiyyah, malah berjangkit kepada mereka yang berada dalam gerakan dakwah dan merupakan aktivis dalam persatuan-persatuan Islam. Entah mengapa, virus ini cukup bersungguh menyerang para pendakwah terutamanya yang masih bergelar remaja. Promoter dan jurujual daripada SGSB ini amat menitik beratkan penampilan dalam menemui pelbagai jenis sasaran pengguna. Apabila berhadapan dengan golongan yang mengikuti tarbiyyah dan menyampaikan tarbiyyah, produk mereka dihiasi dengan riben-riben Islam. Ada beberapa panduan tambahan yang dikenakan seperti menyulami sms yang lebih islamik. Begitu juga sewaktu menggunakan alat-alat canggih yang wujud pada zaman hadhari ini. Bagi mereka yang tertipu, mereka menerima dengan mudah. Namun bagi mereka yang lebih berhati-hati, mereka akan meneliti dan kekadang datang juga perasaan ingin mencuba, akan tetapi cepat-cepat dibuang perasaan tersebut.
Sebenarnya, sudah terlalu banyak mereka yang cakna tentang hal ini, mengulas dan memberi nasihat supaya menjauhi budaya songsang ini. Seperti Ustaz Maszlee Malik dengan artikel popularnya, “Cinta ana enti”, begitu juga daripada pelbagai lapisan. Ada yang menampilkan pendapat dan bahasa yang keras dan tidak kurang juga yang menulis dengan lembut dan bersahaja namun masih bertegas dalam menangani masalah ini. Bahaya gejala ini akan lebih kelihatan jika disertai oleh para du’at dan aktivis jemaah di pelbagai peringkat sama ada sekolah, kampus mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan Islam. Masakan tidak, keharamannya langsung tidak diperasan jika tidak diteliti dengan sebaiknya kerana mereka tidak berpegang tangan,berdating malah tidak bercakap melalui telefon. Hanya dengan menggunakan hujung jari untuk menekan butang-butang di telefon bimbit, laptop dan alat-alat canggih yang lain. Nilai islamik yang dimasukkan juga sudah cukup untuk menipu seseorang itu.
Kekadang, kita tidak dapat mengesan keharamannya melalui mata kasar kita kerana terlindung di sebalik kemuliaan Islam. Namun, pada hakikatnya jiwa manusia yang beriman tetap tidak akan tenang dan menjadi gelisah apabila melakukan kesalahan kepada Allah. Oleh sebab itu, nabi saw ada berpesan supaya bertanya kepada hati sendiri sebelum melakukan sesuatu. Apakah yang dimaksudkan supaya bertanya kepada hati sendiri? Maksudnya ialah kita berfikir sejenak, sekurang-kurangnya bertanya, “apakah betul apa yang aku lakukan ini?” Nescaya kita akan mendapati hati kita akan memberi keputusannya. Jika apa yang dilakukan itu bercanggah dengan keputusan Allah SWT, maka hati kita akan menjadi gelisah dan serba salah.
Akan tetapi, kebanyakan manusia menipu dirinya sendiri apabila dia cuba memujuk hatinya bahawa apa yang dilakukan itu menurut syariat dan tak dilarang Sang Pencipta. Akibatnya, hati terseksa dan ‘pasrah dalam terpaksa’. Begitulah yang dialami oleh mereka yang bergelumang dalam maksiat yang payah untuk disedari ini. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah terdedah dengan tarbiyyah dan sebati dengan kenyataan bahawa budaya couple merupakan satu fitnah yang amat mencabar. Hati mereka langsung tidak merestui tindak-tanduk yang berlawanan dengan syariat itu.
Pada suatu petang, kira-kira pukul 3 petang, tiga orang rakan saya menziarahi bilik saya di asrama dan mengajak berbincang persoalan couple. Soalan-soalan yang ditimbulkan agak advance dan seakan-akan merestui bahawa tidak menjadi untuk kita bercinta, asalkan mengikut syariat. Tetapi, Alhamdulillah saya mampu menjawab setiap persoalan dengan baik. Segala puji bagi Allah. Peristiwa itu menyebabkan timbul persoalan baru di benak fikiran saya, “adakah aku seperti yang aku bagi tazkirah sebentar tadi?” Bimbang, kelekaan diri selama ini menyebabkan saya mengambil ringan akan budaya songsang tersebut. Tiba-tiba sahaja sepotong ayat al Quran datang menziarahi jiwa ini, membelai dengan satu arahan dari langit, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (al Baqarah: 44) “Ya Allah, selamatkanlah diriku dari fitnah yang mencabar ini…”
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment