Oleh : Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Hampir tiga perempat daripada keseluruhan peserta tidak mengetahui makna bacaan dalam solat. Keputusan ujian yang dijalankan secara santai sebentar tadi sangat mengejutkan. Apa tidaknya, ada yang telah berusia hampir mencecah separuh abad, ertinya telah lebih tiga atau empat puluh tahun lebih mengerjakan solat tanpa mengetahui maknanya! Bayangkan tiga puluh tahun, tempoh yang cukup lama, bukan sekadar cukup untuk memahami bacaan dalam solat bahkan lebih dari cukup untuk menjadi seorang hafiz!
"Bagus ustaz buat ujian macam ni," kata seorang peserta.
"Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita tak tahu," tambahnya.
"Betul-betul ke kita ni tidak tahu apa yang kita tidak tahu sebelum ni?" celah saya separuh mengeluh, separuh mengutuk (diri sendiri).
"Apa maksud ustaz?"
Saya senyum. Bukan untuk berteka teki, tetapi sekadar mencari ketepatan makna di sebalik kata-kata.
Tak Serius Dengan Solat?
"Saya rasa selama ni pun kita dah tahu yang kita tidak tahu makna bacaan solat ni. Tetapi kita bersikap 'tak pa', 'tunggu' atau 'nantilah'. Sedar tak sedar, sikap sambil lewa kita itu berlarutan hingga puluhan tahun," ujar saya lagi.
Dia diam. Kemudian mengangguk-angguk. Setuju barangkali.
"Yalah, ustaz. Kita tidak serius dengan solat..."
"Punca tidak serius sebab kita rasa solat ni tidak penting," tambah saya lagi.
"Bagaimana hendak rasakan yang solat ni penting?"
"Walaupun kita dah tahu ia memang penting?"
"Betul tu. Kita tahu kepentingannya tapi tak terasa... Tertinggal solat rasa tak rugi, tak rasa bersalah atau tak rasa kesal."
"Tapi kalau hilang duit? Terbakar rumah? Harga barang naik?"
"Wah, itu terasa betullah, ustaz..."
Kami sama-sama senyum. Tapi senyum tawar. Kesal bercampur hambar.
"Siapa yang rasa solat ni betul-betul penting?"
"Nabi Muhammad SAW."
"Kemudian?"
"Para sahabatnya."
"Mengapa Rasul dan sahabatnya begitu pentingkan solat?"
Tidak Rasa Allah Penting
Sepintas lalu, teringat kisah bagaimana kaki Rasulullah SAW bengkak-bengkak akibat terlalu lama berdiri dalam solat. Terbayang pula bagaimana Sayidina Abdul Rahman bin Auf RA tega menginfakkan seluruh kafilah yakni unta-unta dan segala isinya kerana ingin menebus kelewatannya bertakbiratul ihram dalam solat berjemaah pimpinan Rasulullah.
"Mengapa kita berbeza dengan mereka?" detik hati saya, juga tertanya-tanya.
Semalam ketika terhimpit di celah kesesakan lalu lintas, sempat saya melihat betapa ramainya orang Melayu berbondong-bondong ke pasar malam untuk membeli belah walaupun pada ketika itu masuknya solat Maghrib tinggal beberapa minit sahaja lagi.
"Sebab kita tak terasa Allah penting dalam kehidupan kita," akhirnya saya bersuara bersama sebuah keluhan.
"Kita hanya akan berhubung dengan seseorang apabila kita rasakan dia penting atau diperlukan... Bayangkan betapa resahnya jika kita tidak dapat berhubung dengan ibu bapa, anak-isteri, bos, saudara dan teman rapat kita."
"Saya ada pengalaman itu, ustaz. Pada satu ketika saya berkursus di satu tempat yang berada 'di luar kawasan liputan'... Telefon bimbit tidak dapat digunakan langsung. Saya resah, betul-betul resah, tiga hari tidak dapat berhubung dengan orang-orang penting sepanjang tempoh di situ."
Kalaulah rasa semacam itu dapat kita miliki ketika terlambat lebih-lebih terluput waktu solat, alangkah baiknya, detik saya dalam hati.
Dialog Hati
"Allah lebih penting daripada segala-galanya. Sebab Dia-lah yang mengadakan segala-galanya untuk kita."
"Kita dilimpahi jutaan nikmat..."
"Tapi kita melupakan Pemberi nikmat..."
"Sepatutnya kita hitung kesyukuran..."
"Sebaliknya kita hitung kesukaran..."
(Dialog-dialog hati ini menerjah silih berganti.)
"Bayangkan kita umpama burung kakak tua yang berkata-kata tanpa memahami makna. Tidak hairanlah kalau hati kita lalai dalam solat. Jika tidak faham, bagaimana hendak menghayatinya? Kita sujud, tapi hati kita tidak sujud. Kita ucapkan 'subhanallah' tetapi tidak terasa sedang menyusikan-Nya."
"Itu baru kalimat yang mudah-mudah. Belum lagi doa iftitah, al-Fatihah, tasyahud, qunut dan lain-lain. Dah hafal tapi tak faham maknanya."
"Tu dah kira baik... ramai juha yang tidak hafal bacaan solat," tambahnya.
"Tu yang solat. Yang tak solat?"
Dia menggeleng-geleng.
"Tak hairan kemungkaran berleluasa di tengah-tengah masyarakat. Apabila tak solat, mana ada kemampuan dalam diri untuk tidak melakukan kejahatan dan kemungkaran?"
"Cukuplah tu. Sekarang kita kira kita dulu. Mari kita semak semula makna tersurat dan tersirat pada rukun qauli, qalbi dan fik'li ni..."
"Ustaz, ni baru sedikit. Hanya beberapa kerat ayat Quran, selawat, tasbih, takbir dan tahmid... Macam mana agaknya dengan 6666 ayat dalam al-Quran tu ya?"
Saya terdiam. Betapa terasa agama ini kita lakukan tanpa erti, kita amalkan tanpa penghayatan. Seperti pelajar yang membaca buku tapi tidak faham, bolehkah dia lulus dalam peperiksaan?"
Surat Daripada Kekasih
Ya, bayangkan bagaimana agaknya rasa kita kalau menerima sepucuk surat dari seorang kekasih, tetapi kita tidak faham apa yang dituliskannya. Allah - 'Kekasih' orang beriman itu - telah mengutuskan 114 surah-Nya... berapa surah yang kita telah tahu maknanya, faham tafsirannya, amal kehendaknya dan perjuangkan tuntutannya? Benar-benarkah kita cintakan Allah jika 'surat cinta'-Nya tidak kita usahakan untuk membaca, memahami dan menghayatinya?
Al-hasil, 114 surat cinta-Mu kami persiakan begitu sahaja... Ya Allah, ampunilah kami yang jauh dari solat, jauh dari al-Quran, justeru terlalu jauh dengan-Mu! Astaghfirullah hal'azim. Bukan Kau ya Allah yang jauh, tapi kami ini yang menjauh.
sumber :Majalah Anis (Oktober 08)
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment