1) Persediaan untuk menyambut Ramadhan
2) Pengetahuan mengapa Ramadhan amat penting untuk kejayaan
3) Apa yang boleh dibuat agar Ramadhan tahun ini adalah terbaik buat anda.
Jika anda ada cadangan, pertanyaan dan sebagainya, sila kongsikan. Kita sama-sama mencari usaha ke arah Berjaya dengan Ramadhan.
21 Ogos 2009 Insha-allah bermula Ramadhan. Ada sekitar 38 hari untuk bersedia. Perlukah bersedia? Ia bergantung kepada sejauh mana anda menghargai Ramadhan.
Ada yang anggap Ramadhan bulan bisnes kurang
Ada yang anggap bulan Ramadhan bulan keletihan
Ada yang anggap bulan Ramadhan bulan yang ceria
Ada yang anggap bulan Ramadhan bulan beribadat dan lupakan kerja
Apa pendapat anda tentang bulan Ramadhan? Sila kongsikan.
Ada yang berpendapat, Ramadhan jauh lagi. Kalau nak bersedia, siap sedia mungkin 1 minggu sebelum masuk Ramadhan. Yang perlu disediakan ialah 'bagaimana untuk menghadapi saat Ramadhan nanti'.Ada yang bersedia 'bagaimana nak pastikan jualan Raya tidak ketinggalan'. Ini lebih parah.
Mengapa perlu sedia lebih awal?
Ramadhan adalah bulan latihan. Ramai yang masuk pusat latihan tanpa persediaan cukup sehinggakan banyak masa awal latihan dihabiskan untuk 'ice breaking' atau membetulkan psikologi diri. Pelatih lain sudah rasa isinya, manakala pelatih tidak bersedia termangu-mangu dengan apa yang perlu dibuat. Ada pula yang tidak bersedia mengikut latihan kerana dirasakan ia sukar dan memerlukan komitmen tinggi. Rindu pada keluarga.
Tanpa persediaan masuk latihan Ramadhan, ada yang termangu-mangu apa yang perlu dibuat ketika Ramadhan. Ada yang 'tidak dapat menerima hakikat' bahawa beliau perlu berpuasa. Perlu ubah cara hidup. Tidak ada borak-borak makan pagi, borak minum pagi (selepas makan pagi), borak tengahari, borak minum teh dan borak makan malam! Masih rindukan goreng pisang panas waktu petang.
Kejayaan pada Ramadhan bermula dari sekarang.
Bina kejayaan-kejayaan kecil
Individu yang berjaya akan membina kejayaan-kejayaan kecil sebelum menuju ke arah target utama. Latihan Ramadhan membuka peluang kita mendapat ijazah takwa. Tidak ramai yang berjaya mendapatnya, kecuali lapar dan dahaga.
Untuk mendapat kejayaan ijazah taqwa, kita perlu sedar apa erti taqwa. Taqwa ialah sedar kepada Allah (God conscious) hasil dari ibadah puasa. Bagaimana mendapatkan ijazah itu? Kita perlu bina sedikit demi sedikit dari sekarang. Tidak mungkin kita mencapai kejayaan besar kalau kejayaan kecil tidak pernah kita rasa dan rancang.
Apa yang perlu disediakan?
Bergantung apakah yang anda ingin capai dalam Ramadhan. Ada ijazah taqwa kelas pertama. Ada ijazah kelas dua. Ada kelas tiga. Diri kita yang memilih. Makin banyak kemahiran yang anda dapat dari latihan ini, makin tinggi darjah ijazah ini. Ijazah ini memberi kesan kepada kehidupan anda selepas Ramadhan.
Kalau seseorang ada ijazah Ramadhan, hidupnya selepas Ramadhan berubah. Lebih teratur, baik dan produktif berbanding sebelum Ramadhan. Tanpa ijazah ini - walaupun ikut latihan Ramadhan - perangai lebih kurang sama sahaja.
Dengan ijazah, perkataan sudah terkawal. Tanpa ijazah, perkataan masih penuh basa-basi.
Dengan ijazah, amalan bertambah dan istiqamah. Tanpa ijazah, amalan tak bertambah. Ada yang makin susut.
Dengan ijazah, diri lebih merendah diri tetapi yakin. Tanpa ijazah, diri yakin tapi penuh kebongkakan.
Dengan ijazah, diri lebih rindu pada Ramadhan. Tanpa ijazah, diri ingin menjauhi Ramadhan.
Aspek yang akan kita bincangkan:
1) Aspek fizikal (tubuh badan)
2) Aspek minda
3) Aspek emosi diri
4) Aspek sosial
5) Aspek kewangan dan harta
6) Aspek amalan dan spiritual
Ada cadangan ?
Apa kesan tidak bersedia secara fizikal?
1) asyik sakit perut dan gastrik di awal Ramadhan
2) pening-pening di awal Ramadhan
3) cepat tergoda dengan melihat sebarang makanan
Bagaimana kita boleh bersedia?
1) Puasa sunat Isnin dan Khamis. Ia menyiapkan diri kita dengan puasa setiap hari di bulan Ramadhan. Tubuh kita akan beradaptasi dengan suasana puasa lebih awal. Jika tidak biasa berpuasa, hari-hari awal Ramadhan penuh denan sakit perut atau mungkin pening-pening. Datang pejabat pun dengan muka yang layu dan kusam.
2) Kita kurangkan makan. Mana yang boleh dikurangkan, kita kurangkan.
3) Kurangkan 'masa minum'. Kekadang apabila sampai pejabat, ada yang sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum teh petang dan minum sebelum balik kerja! Kurangkan... kerana bulan puasa nanti hanya ada minum sahur dan makan malam.
Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk bersedia aspek fizikal.
Dalam sirah dan Quran, Fasa Mekah menekankan aspek tauhid, akhirat dan beberapa perkara lain. Ada orientalis menyatakan Rasul 'menulis' Quran dengan perasaan 'pesimis' kerana asyik bercerita pasal akhirat di Mekah. Padahal Stephen R Covey dan ramai lagi pakar motivasi meletakkan ciri ini untuk berjaya: Begin with the end in mind. Maksudnya, untuk berjaya buat sesuatu perkara, fikir yang hujung dahulu. Akhirat.
Jika kita ingin menuju ke syurga Allah yang tinggi, ia adalah kejayaan besar. Kejayaan besar tidak mungkin berlaku tanpa ada kejayaan-kejayaan kecil. Berjaya dengan Ramadhan tahun ini adalah persediaan untuk kita memperoleh kejayaan besar di sana.
Jika anda anda ingin berjaya dalam Ramadhan ini, kita perlu bayangkan apakah yang ingin dicapai. Letakkan azam untuk melaksanakan perkara tersebut. Azam itu mungkin berbeza antara satu sama lain.
Apakah azam Ramadhan anda tahun ini? Fikir-fikirkan. Tanpa azam yang jelas, ia akan menyebabkan Ramadhan yang akan dilalui tidak menjadikan kita 'excited'.
Berikut ialah antara azam yang boleh anda bina:
1) Ingin jaga perkataan. Kerana lidah tidak bertulang ini antara sebab utama ramai diazab Allah. Banyakkan perkataan Subhanallah dan zikir, berbanding perkataan sia-sia.
2) Banyakkan membaca al-Quran dengan maknanya. Ada yang ingin habiskan 30 juzuk QUran ketika Ramadhan. Tahniah. Lebih penting ialah faham isi kandungannya. Kalau khatam 5 kali dalam Ramadhan tapi tak faham apa pun, ia adalah kerugian. Usahakan membaca erti dan tafsirnya.
3) Membetulkan gaya berfikir. Ramai yang menyambut Ramadhan dengan beribadah. Tapi ramai yang tidak sedar tafakur ialah ibadah. Apa kata Ramadhan ini belajar apa erti ekonomi, sosial, keluarga, politik dan banyak lagi dalam perspektif al-Quran. Lepas Ramadhan, anda bukan lagi yang berdegar memperjuangkan tauhid tapi tempias modernisme dan postmodernisme menjadi amalan. Dan ini cabaran umat Islam sekarang.
Siri sebelum ini saya mencadangkan 3 azam yang boleh dibina. Jika kita merujuk kepada Madaarij us Saalikin yang ditulis oleh Ibn Qoiyim al-Jauziyyah, ada 4 tahap untuk mencapai azam. Azam ini akan memenuhi usaha untuk mendekatkan diri pada Allah (ibadah) dan mendapat pertolongan dari-Nya (istianah).
1) Yaqazah - kesedaran
2) Fikrah – pemikiran/ilmu
3) Baseerah - kejelasan
4) Azam – nekad dan tekad
Azam dalam bahasa Melayu berasal dari perkataan bahasa Arab. Nabi Ulul Azmi ada 5 – kerana mereka mempunyai tahap keazaman yang kuat dalam mengharungi pelbagai cabaran kaumnya.
Nabi Ulul Azmi tersebut ialah:
1) Nabi Nuh
2) Nabi Ibrahim
3) Nabi Musa
4) Nabi Isa
5) Nabi Muhammad
Menurut Eltigani AbdelGadir Hamid, Allah memusnahkan kaum tidak beriman untuk digantikan dengan orang beriman pada era nabi-nabi awal seperti Nabi Nuh, Hud, Salih, Lut dan Shuaib. Namun bermula era Nabi Yusuf dan secara lebih jelas daripada Nabi Musa hingga sekarang, Allah tidak memusnahkan tetapi menggantikan antara satu kaum dengan kaum yang lain (antara yang beriman dengan yang tidak beriman).
Apabila individu tidak beriman melaksanakan tugas untuk berada di atas, mereka akan mengawal dunia. Apabila orang beriman melaksanakan tugas dengan asas iman yang menyuluh dalam niat, tutur kata dan amal, Allah akan menggantikan kaum tidak beriman. Hanya dengan azam yang kuat, iman itu akan membawa seseorang berjaya di peringkat diri mahupun tamadun.
Proses penggantian ini melibatkan aspek fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Ramadhan adalah bulan untuk mendidik fizikal, intelek, emosi dan spiritual.
Jika dirujuk kepada tahap yang dinyatakan oleh Ibn Qoiyim, tanpa fikrah atau minda yang mantap, seseorang tidak mampu mencapai kejelasan serta azam. Tanpa kejelasan dan azam, individu Muslim tidak mampu beribadah dengan baik dan mendapat pertolongan dari-Nya untuk berjaya secara total.
Apa yang perlu dibuat dalam Ramadhan ini? Kaji manual untuk memajukan diri kita – al-Quran. Antaranya:
1) Baca al-Quran
2) Kaji maksud al-Quran
3) Cari tafsir dan dengar kuliah tafsir agar emosi kita terbangkit.
4) Emosi yang bangkit itu akan mendatangkan kemanisan iman.
Dengan kemanisan iman itu, kita akan keluar bulan Ramadhan dengan keceriaan dan persediaan untuk meneruskan ruuh Ramadhan. Tanpa kefahaman al-Quran, minda kita akan mudah dikalahkan oleh ideologi songsang dari puak tidak beriman.
Wallahua'lam.. :) Kejayaan pada Ramadhan bermula dari sekarang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"...
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment