ADAKAH sah sembahyang seseorang itu jika dia menggunakan bahan kecantikan
beralkohol seperti minyak wangi dan terkena pada pakaiannya?
SITI,
Masai, Johor
JAWAPAN
Sudah disepakati alkohol yang ada dalam minyak wangi bukanlah alkohol
yang menyebabkan tidak sah solat.
Bagaimanapun perkara ini masih termasuk dalam perkara shubahat.
Kita ada dua pilihan; menggunakannya jika mahu atau mengelakkannya.
Mereka yang mengelakkan dari menggunakan barang shubahat akan memelihara
agamanya dari tercemar.
Tepuk dada tanyalah selera.
Hukum wanita ceburi bidang nyanyian
08 September 2001
Soalan
APAKAH hukum wanita menceburi bidang nyanyian? Bagaimana pula dengan kedudukan sumber pendapatan yang diperolehi hasil daripada nyanyian itu iaitu ia halal digunakan atau sebaliknya?
Kiriman: Sharifah,
Kuala Ketil, Kedah.
Jawapan
ULAMA berbeza pendapat berkenaan suara wanita, ada yang mengatakan fitnah, ada yang mengatakan suara perempuan bukan aurat.
Begitu juga dengan hukum nyanyian. Disebabkan hukum berkenaan, perkara ini berasaskan ijtihad ulama saja iaitu pemahaman masing-masing kerana tidak ada teks jelas, maka dibolehkan mengambil mana-mana pendapat kerana dalam ijtihad tidak ada yang salah.
Ada hadis yang menceritakan mengenai beberapa orang jariah (pembantu) wanita kepada Aisyah r.a. bernyanyi dalam rumah hingga didengari Abu Bakar yang kemudiannya memarahi mereka tetapi Rasulullah s.a.w. membenarkan mereka terus menyanyi.
Bahkan diriwayatkan yang Rabiah Adawiyah mencari makan dengan menyanyikan nasyid yang mengingatkan manusia pada Tuhan.
Secara ringkas ulama yang membolehkan wanita menyanyi pun meletakkan beberapa syarat antaranya, nyanyian berkenaan tidak menaikkan syahwat dari segi penampilan wanita, senikata mahupun suara juga sebarang perkara yang menolak ke arah haram seperti percampuran lelaki dan perempuan.
Gadis ternoda enggan kahwin
15 September 2001
Soalan
SAYA kini berusia 22 tahun dan kehilangan dara sejak usia saya sembilan tahun lagi akibat perbuatan bapa tiri yang kini sudah meninggal dunia.
Semakin meningkat dewasa, saya sangat takut menghadapi masa depan. Adakah berdosa sekiranya saya menanam azam pada diri saya untuk tidak mahu berumah tangga?
Jika ditakdirkan saya bertemu jodoh pula, haruskah saya berterus-terang pada bakal suami saya?
Kiriman: Gadis Trauma,
Johor Bahru, Johor.
Jawapan
PERKAHWINAN adalah sunnah nabi dan merupakan ibadah. Mereka yang menolak sunnah nabi, baginda tidak mengaku daripada umatnya.
Oleh itu, menanam azam tidak mahu berkahwin adalah bercanggah dengan sunnah. Tidak semua lelaki berperwatakan seperti bapa tiri saudari bahkan ramai lagi yang baik-baik.
Pengalaman yang lalu tidak harus dijadikan sebagai satu kenangan yang menyekat kita daripada meneruskan tuntutan Tuhan.
Anggaplah ini sebagai satu pengajaran untuk saudari, andai bertemu jodoh dengan orang baik teruskan hidup bersamanya, usahlah menjadikan pengalaman itu sebagai halangan, kuburkanlah kenangan terbabit kerana ketika itu saudari dianiayai dan bukan dengan kehendak sendiri. Biarlah itu menjadi rahsia saudari dengan Tuhan.
Tidak perlu buang tatu
15 September 2001
Soalan
SAYA mempunyai seorang rakan yang ingin memeluk Islam. Masalahnya, di tubuhnya penuh tatu. Adakah dia perlu membuang tatu itu sebelum atau selepas memeluk Islam?
Kiriman: Athira,
Johor Bahru, Johor.
Jawapan
ORANG bukan Islam setelah memeluk Islam, Allah akan mengampuni semua dosanya yang lalu.
Tatu bukan mudah untuk dihilangkan. Syarat untuk masuk Islam tidaklah perlu membuangnya lagipun ia mungkin akan memudaratkan.
Islam mengalu-alukan kedatangannya dan janganlah menampakkan Islam seolah-olah agama yang sulit.
Insya-Allah, Allah akan menerima dia seperti orang lain dengan syarat selepas memeluk Islam dia mestilah melakukan amal ibadat seperti yang dituntut Islam dan meninggalkan perkara mungkar.
Mewarna rambut tidak dilarang
29 September 2001
Soalan
Apakah hukum mewarnakan rambut?
Abdullah
Kota kinabalu
Jawapan
PERBUATAN mewarnakan rambut dengan inai atau apa saja bahan yang halal tidak dilarang oleh Islam cuma perkara yang dilarang ialah menggunakan bahan yang mungkin menghalang air daripada terkena pada rambut.
Apa yang perlu diperhatikan di sini bahawa tujuan mewarnakan rambut itu ialah untuk memperelokkan lagi rambut dan menyihatkannya.
Jika warna yang diletakkan pada rambut itu boleh menimbulkan aib seperti mewarnakannya dengan warna hijau, jingga dan sebagainya, sudah tentu ini menyimpang daripada maksud sebenar keharusan berkenaan yang disebut dalam sebuah hadis bermaksud, “Barangsiapa yang ada rambut hendaklah dia menjaganya dengan sempurna”.
Setiap hari qada solat Zuhur
Dr Mashitah jawab
06 October 2001
Soalan
SAYA berusia lingkungan 20-an dan bekerja di sebuah syarikat bukan milik orang Islam. Di tempat kerja tidak disediakan tempat untuk bersolat dan untuk ke surau pula, agak sukar kerana pembinaan jambatan sedang dibina yang menghalang laluan untuk ke surau berhampiran.
Oleh itu, setiap hari saya mengqada solat Zuhur selepas saya solat Asar.
Adakah tindakan saya itu dibenarkan dan apakah yang sewajarnya saya lakukan?
Kiriman: Remaja Was-was,
Kuala Terengganu,
Terengganu.
Jawapan
TINDAKAN qada solat atas alasan tempat bekerja milik orang bukan Islam atau surau yang jauh adalah sesuatu yang tidak wajar.
Perlu diingatkan di sini untuk bersolat tidak semestinya seseorang itu berada dalam surau atau tempat khas untuk bersolat.
Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersolat di atas unta. Ertinya di sini yang diperlukan cuma kesungguhan dalam diri dan ruang kecil sekadar mampu untuk melakukan sujud.
Bilik pejabat sendiri juga boleh dihampar dengan kain bersih dan kemudian bersolat.
Jika tiada bilik sendiri, ruang apa saja sekalipun atau pergilah ke sudut pejabat yang bersih, menghadap kiblat dan kemudian bersolat.
Apa yang penting ialah bagaimana kita melihat kedudukan solat itu sendiri, adakah ia sesuatu yang penting? Ingatlah bahawa kita mencari rezeki daripada Allah maka janganlah diabaikan perintah-Nya. http://www.geocities.com/drmasitah/
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"...
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment