APAKAH kita pernah mengalami perasaan malas beribadah? Terasa berat
untuk tilawah atau ada kenikmatan ketika membaca al-Quran atau solat?
Atau mungkin berasa susah bangun malam untuk qiyamulail, padahal jam
dikunci untuk mengejutkan kita atau telefon bimbit sudah dipasang
tetapi ketika berdering, tetap terlelap dalam tidur.
Apa yang kedengaran hanya seperti dalam mimpi dan akhirnya jam dan
telefon bimbit mati sendiri atau bangun dengan setengah sedar.
Selepas itu, tarik selimut dan tidur lagi. Padahal, biasanya dengan
mudah boleh bangun.
Jadi, apa yang sudah terjadi dengan diri kita? Atau mungkin kita
pernah merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat
al-Quran atau mengucapkan salam kepada saudara kita. Atau mungkin
kita secara sengaja memlambatkan waktu menunaikan solat?
Terkadang hati rasa meluat dengan rakan di pejabat kerana hal yang
kecil atau prasangka buruk. Terkadang kita melalui hari yang kita
isytiharkan hari malang atau tidak ada `mood'. Makin malang, kita
dengan sengaja melanggar perintah Allah.
Jika hal itu terjadi pada kita, segeralah muhasabah diri. Ada apa
dengan diri kita? Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja.
Lama-kelamaan ia akan terbiasa.
Seperti halnya penyakit, jika ada gejala, segera berjumpa doktor dan
makan ubat agar cepat sembuh.
Begitu pula dengan ruhiyah kita. Kalau sudah ada gejala penurunan
anjakan ruhiyah, segeralah kita muhasabah diri. Bagaimana hubungan
kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?
Jangan-jangan kita banyak mengerjakan maksiat hingga menghalang
amalan kita. Mungkin kita tidak boleh menjaga daripada melakukan
perkara yang makruh, bahkan diharamkan Allah sehingga menghalangi
organ tubuh kita untuk beribadah kepada-Nya. Misalnya, kita
menggunakan mata untuk menonton drama atau filem yang melalaikan
meskipun cuma satu atau dua jam.
Mungkin mata kita tidak dijaga daripada melihat perkara yang tidak
berguna, bahkan mengandungi maksiat. Akhirnya Allah pun tidak
menjaga mata kita untuk beribadah pada-Nya. Lalu, mata kita malas
untuk bangunkan kita solat malam. Mata kita rasa berat untuk
beribadah, rasa berat untuk membaca buku tazkirah hati, rasa berat
untuk melihat e-mel yang memberi nasihat.
Selain mata, telinga juga perlu kita jaga. Boleh jadi kita susah
bangun malam untuk bertaqarub kepada Allah S.W.T kerana kita tidak
menjaga telinga kita. Telinga kita gunakan untuk mendengar gosip
atau muzik melalaikan, bahkan terkadang boleh terngiang-ngiang dalam
memori kita kerana seharian yang didengari adalah muzik.
Akhirnya, pada waktu malam, telinga kita tidak mampu mendengar
deringan jam loceng bahkan suara azan. Telinga kita rasa berat untuk
mendengar tazkirah dan telinga kita bosan mendengar nasihat.
Selain itu, mulut penting untuk dijaga kerana ia banyak
menjerumuskan manusia terutama wanita ke neraka. Mulut boleh menjadi
sarana ghibah, fitnah dan caci maki.
Mulut tidak dapat kita kawal. Macam air saja mengata perilaku kawan-
kawan. Kita tidak kenal pun dengan si polan, tapi mulut kita seronok
mengata mereka. Mulut kita juga berat nak berzikir. Kenapa ini
terjadi?
Begitu juga hati. Ini adalah bahagian terpenting yang perlu dijaga.
Hati ibarat pemimpin manakala organ tubuh yang lain adalah komando.
Hati boleh sakit, buta bahkan mati jika semakin banyak berbuat
maksiat.
Hati ibarat cermin. Semakin banyak membuat maksiat, maka semakin
banyak noda titik hitam di cermin itu. Atau mungkin tidak ada lagi
titik hitam tapi sudah jelaga hitam yang susah dibersihkan.
Begitu pula dengan diri kita, semakin banyak kita berbuat maksiat
dan tidak bertaubat, kita semakin terbiasa dengan kemaksiatan itu.
Salah satu yang menyebabkan kematian hati adalah banyak bercanda
atau bergurau senda. Kita boleh bergurau senda untuk menceriakan
suasana atau menciptakan suasana ukhuwah.
Tapi hendaklah memperhatikan adabnya. Perhatikan dengan siapa juga
dan tidak berlebihan, apalagi adanya lelaki dan perempuan dalam satu
majlis.
Tengoklah diri kita. Muhasabahlah diri kita. Jika selama ini kita
belum menjaga mata, mulut, telinga, hati dan organ tubuh kita yang
lain daripada kemaksiatan, segeralah kita bertaubat dan istighfar
diri.
Tidak ada kata terlambat untuk kebaikan. Seharusnya kita sayang jika
tidak boleh tadarus al-Quran meskipun hanya terlepas satu hari.
Kita berasa sayang jika tidak ada nikmat beribadah. Jika masih
berasa sayang, jagalah diri kita dan Allah akan menjaga kita agar
sentiasa dekat dengan-Nya
-------------------------------------------------------------------------------------------------
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment