Firman Allah s.w.t.: “Maka tetaplah kamu pada jalan yang lurus(benar) sebagaimana telah diperintahkan kepadamu.” Surah Hud:112
Dato’ Hj Dusuki Ahmad dalam bukunya Kamus Pengetahuan Islam mencatatkan bahawa istiqamah itu ialah: “tetap hati, tekun dan terus-menerus menggiatkan usaha untuk mencapai cita-cita.” Menurut definisi ini, kita fahami bahawa individu yang mudah lemah semangat, mudah patah hati, mudah kecewa, kerja sambil lewa, tidak tetap pendirian, pemalas dan suka ponteng adalah individu yang tidak istiqamah.
Sebenarnya istiqamah itu lebih meluas pengertian, konteks dan kehendaknya dari sekadar kosisten. Sebagaimana pengertian akhlak dan etika. Akhlak itu lebih syumul, murni dan berpahala serta didorong oleh iman, manakala etika hanya sifat yang dibiasakan pada waktu dan ditempat tertentu tanpa dikaitkan dengan iman. Etika belum tentu kekal menjadi pakaian diri berbanding dengan akhlak yang telah sebati.
Istiqamah itu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, baik rohaniah atau jasmani, baik hablumminallah (hubungan dengan Allah) mahupun hablumminannas (hubungan dengan manusia). Istiqamah yang paling utama adalah istiqamah di dalam aqidah dan keimanan. Hati mukmin tidak akan goyah dan goyang walau diuji seberat mana sekalipun.
Imannya sama sekali tidak dicelahi penyakit syak, zdan dan waham iaitu kategori penyakit ragu-ragu dan kurang yakin. Pendek kata, mukmin itu tetap dan lurus di dalam keimanannya.
Firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): ‘Janganlah kamu berasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu’.” Surah Fussilat:30
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment