Sumberr: www.iLuvislam.com
RAMAI orang minta orang lain berubah. Anak-anak mesti berubah. Remaja sering ditanya kenapa berdegil tidak mahu berubah-ubah? Malah, ada juga orang bertanya kenapa ekonomi tidak berubah, politik pun macam dulu tidak berubah-ubah. Pendek kata, semua kena berubah.
Sebenarnya rahsia perubahan bermula dengan mengubah diri sendiri. Jika mahu ubah keluarga, ubahlah diri dulu. Jika diri berubah barulah keluarga terubah, masyarakat berubah, malah hendak ubah negara pun ubahlah diri sendiri. Jika hendak ubah orang lain tetapi kita tidak ubah diri kita, orang akan ketawakan kita. Maksudnya asyik memikirkan kesalahan orang, keburukan orang, kelalaian orang tetapi lupa untuk membetulkan diri. Kita berani membuka keaiban orang, membincangkan keburukan orang tetapi jarang berani melihat keaiban diri sendiri. Tidak ramai orang berani mengakui kelemahan diri. Amat sedikit orang berterima kasih apabila ditegur dan dinasihati, sedangkan agama Islam didasari dengan saling nasihat menasihati. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam itu nasihat.”
Kita perlukan remaja dan pemuda yang hebat untuk mewarisi negara dalam menghadapi cabaran global yang kompleks. Remaja yang berjiwa besar ialah remaja yang boleh menerima dan berkongsi kekuatan dengan orang tua berpengalaman. Orang tua yang hebat juga ialah mereka yang memahami dan menghormati perasaan remaja. Pendek kata, mereka yang berjiwa besar menjadi ejen pengubah dan perubahan datang daripada diri sendiri. Inilah calon orang-orang besar. Kegigihan mengubah diri sendiri membuatkan orang lain melihat dan merasakannya, malah memberi pengaruh pada orang di sekitarnya. Dia menjadi dorongan serta simpati juga untuk berubah. Kita tidak boleh menguasai hati orang untuk berubah dan orang pun susah untuk menguasai diri kita. Paling penting kita menggunakan kekuatan yang ada untuk dimanfaatkan orang yang rapat dengan kita.
Mula-mula ubah diri kita, isteri kita, anak-anak kita. Jika semua bertindak proaktif begini tersebarlah perubahan itu. Ramai orang berkata “susahnya hendak ubah remaja” , “isteri degillah” , “pekerja keras kepalalah.” Jawapan sebenarnya ada di dalam diri kita, asalkan jangan terlebih dahulu menyalahkan orang lain. Memang mereka pun ada salah, tetapi kita pun ada silap juga. Mungkin cara penyampaian yang tidak kena. Kekuatan mengajak memang disuruh tetapi jangan lupa kekuatan 'memberi contoh' amat penting. Rasulullah s.a.w. diutus untuk mengajak dan memberikan contoh baik. Kita pula banyak mengajak tetapi kurang memberi contoh yang baik.
Banyakkan ajakan, kurangkan ejekan.
Berinteraksilah, jangan berkonfrantasi.
Sayangilah jangan membenci.
Perubahan bermula dari diri sendiri.
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment