Contohi peribadi Khadijah
APABILA bercerita mengenai kejayaan kaum wanita, kita lazimnya mengambil contoh kejayaan beberapa wanita sama ada dari dalam negeri dan luar negara sebagai pembakar semangat serta role model.
Hakikatnya, umat Islam terutamanya kaun Muslimah, sewajarnya lebih berbangga dan beruntung kerana peranan dan sumbangan insan bergelar wanita di dalam Islam memang tidak dapat dinafikan malah telah dijanjikan syurga di akhirat kelak.
Bersempena dengan Hari Wanita yang disambut baru-baru ini, selain mengambil contoh daripada kejayaan wanita era kini, mengapa tidak menyorot peribadi, pengorbanan, sumbangan dan episod cinta suci yang tidak berbelah bahagi insan suci bernama, Khadijah binti Khuwailid.
Ini kerana, perihal hidup ummul mukminin Khadijah ini adalah sejarah pancaran sinar kemuliaan bagi susuk wanita perempuan suci, mulia dan istimewa. Lantaran itu, wanita pertama yang memeluk Islam ini, layak mendapat apresiasi mulia serta menjadi inspirasi kepada semua wanita Muslimah dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Buku Khadijah Cinta Abadi Kekasih Nabi terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. ini adalah terjemahan yang sah daripada buku Khadijah Drama Cinta Abadai Sang Nabi, karangan Dr. Muhammad Abduh Yamani yang diterbitkan oleh Penerbit Pustaka Ilman. Ia merangkumi kisah kehidupan isteri, sahabat, kekasih serta ibu kepada putera dan puteri Baginda Rasulullah SAW.
Pengisiannya meliputi bab salasilah keturunan, perkahwinan, peribadi, kerjaya, pengorbanan, putera-puteri dan kewafatan. Di samping itu penulis turut menyelitkan bab peranan syair dalam memuliakan Khadijah dan hadis-hadis yang menyentuh tentang kehidupan Khadijah.
Bagi ramai yang masih tertanya-tanya mengapa Khadijah yang menjadi isteri pertama Nabi Muhammad dan kriteria apa yang menyebabkan pemilihan itu? Segeralah mendapatkan buku ini.
Pengakuan Rasulullah SAW berbunyi: Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku semasa orang lain mengingkariku; dia membenarkanku semasa orang lain mendustakanku; dia menyerahkan hartanya kepadaku semasa orang lain menghalangku; dan Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya semasa aku tidak dapat daripada isteri-isteriku yang lain. Sesungguhnya ciri-ciri inilah yang cuba kita jadikan iktibar tentang peranan bergelar seorang Muslimah, isteri dan teman kepada suami tercinta.
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment