Soalan:
Saya ingin bertanya apakah HUKUMNYA jika seseorang itu melakukan zina walhal dia juga seorang yang mengerjakan solat dan segala kewajipan islam dengan baik. Adakah solat dan amal kebaikannya DITERIMA kerana dia ada melakukan maksiat dalam masa yang sama?
Jika seseorang melakukan perzinaan dan mengiktikadkan perbuatan tersebut adalah halal kepadanya, maka ia telah menjadi murtad dan terkeluar dari Islam. Dengan itu segala ibadat yang lain yang dilakukan olehnya adalah tidak sah. Ini kerana ia telah menjadi seorang yang kufur kepada Allah, kecuali jika ia kembali mengucapkan dua kalimah syahadah.
Jika ia melakukan perzinaaan dalam keadaan ia tidak mengiktikadkan perzinaan itu sebagai halal baginya, sebaliknya dilakukannya juga kerana menurut runtunan hawa nafsunya, maka ia berdosa besar. Ini bermakna jika ia menunaikan solat dan ibadat-ibadat lain setelah melakukan perzinaan, maka ibadatnya itu adalah sah. Ulamak berselisih pendapat dalam masalah ini. Ada yang berpendapat ibadatnya diterima apabila ia bertaubat. Sesetengah yang lain pula berpendapat segala amalan baiknya diterima walaupun ia berada dalam kemaksiatan, tetapi ia tetap mendapat balasan di atas perbuatan buruknya itu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari, Rasulullah SAW pernah menjelaskan seseorang yang melakukan perzinaan tergugurlah imannya. Mafhum dari hadis ini ialah ketika seseorang sedang melakukan kemaksiatan, ia jauh dari agama, tetapi apabila ia berhenti melakukan kemaksiatan dan kemudian melakukan kebaikan, maka kebaikan itu akan kembali kepadanya semula. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada orang-orang mukmin.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Taubat - Amalan dan Penghayatannya DN 186
2. Dosa-Dosa Besar DN 220
3. Dosa yang Menutup Pintu Hati DN 009
4. Penghalang Kesucian Batin DN 109
0 wahai manusia..berpesan-pesanlah..COMMENT me!:
Post a Comment