
Ketentuan Allah merupakan satu ketentuan yang pasti akan kita hadapi suatu hari nanti. Batas di mana manusia tidak dapat berdalih lagi. Hari di mana kita terpaksa menerima akibat dari usaha kita selama hidup di dunia. Pada hari itu manusia yang tidak ikhlas akan melolong, memekik dan menyesal kerana amalannya tertolak. Dia sangka dapat membohongi Allah dengan segala amalannya, rupanya tidak. Allah sifat-Nya Maha Mengetahui lebih tahu dari diri kita sendiiri tentang gerak hati kita sendiri. Oleh yang demikian, ada baiknya kita insaf dari sekarang, betulkan niat kita ketika melakukan suatu amalan. Memohon dari Allah agar diberi-Nya hati yang ikhlas. Sebab ikhlas adalah anugerah dari Allah. Dalam satu Hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:
“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hamba-Ku yang aku mengasihinya” (HR Abu Hasan Al-Basri)
Kerana ikhlas itu satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya. Kita tidak boleh mengatakan diri kita ikhlas, “saya Ikhlas”.
Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah, namun Islam membuat satu garis panduan untuk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas. Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan adalah bila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama sahaja. Kita tidak bernafsu untuk mendengar pujian terhadap amalan kita atau tidak ada amarah mendengar cacian atau ejekan terhadap amalan kita. Pujian tidak membuatkan kita rasa bangga dan kejian tidak pula menyusahkan dan menyedihkan hati kita sedikitpun. Itulah kayu ukur keikhlasan. Maknanya, amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah, bukan kerana manusia. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati tidak terasa cacat, tidak timbul rasa marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu. Hati rasa tenang sahaja.
Begitu juga, kalau orang puji, pujian itu tidak membekas di hatinya. Tidak timbul sedikitpun rasa bangga, puas hati dipuji atau juga tidak bertambah kasih sayang pada orang yang memuji itu, disebabkan oleh pujiannya. Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian atau kejian tidak pernah difikirkan apa lagi hendak diharapkan. Mereka hanya takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka sahaja. Sebaliknya mereka hanya sangat berkeinginan Allah menerima baik amalan-amalan mereka sertai meredhai mereka. Amalan yang mereka lakukan bukan untuk membuatkan manusia sukakan mereka tetapi amalan yang dilakukan hanya untuk membuat Allah suka dan redha kepada mereka.
Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredhaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka. Rasulullah s.a.w. kerana menganjurkan sifat ikhlas pernah bersabda:
“berbuat baiklah pada orang lain yang berbuat jahat kepada kamu”
Seseorang yang benar-benar mencari keredhaan Allah, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada-Nya. Ketika orang lain bertindak jahat kepada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Sebab itulah kejahatan orang lain terhadapnya diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.
Hal ini benar-benar berlaku di kalangan orang-orang soleh dan muqarrobin. Ketika mendengar orang menghina mereka, langsung dihantarkannya hadiah pada orang itu. Bila ditanya apa tujuan hadiah itu, jawapan mereka adalah, “orang yang menghina kita sebenarnya memberi pahala kepada kita(disebabkan kita sabar). Memberi pahala sama seperti memberi syurga. Jadi untuk membalas pemberian yang begitu besar pada kita, memang patutlah kita menghadiahkan sesuatu kepadanya”. Begitulah hati yang ikhlas. Dia tidak melatah jika orang menggugatnya, malah gugatan itu membuatkan dia makin dekatkan diri kepada Allah Ta’ala.
Wallahualam
